ISRAK MIKRAJ:
URUTAN RINGKAS PERISTIWA-PERISTIWA YANG BERLAKU DALAM ISRAK MIKRAJ KE ATAS
RASULULLAH SAW
Umat
Islam seluruh dunia menyambut ketibaan peristiwa agung iaitu Israk dan Mikraj
yang ada disebut dalam ayat pertama surah al-Israk pada setiap 27 Rejab. Mereka
tidak akan melepaskan peluang keemasan yang datang sekali setahun dalam bulan
hijriah.
Ia
bagaikan dinanti-nanti oleh pencinta agama Islam, kerana kepentingannya dalam
mentarbiyah jiwa manusia ke arah kesempurnaan. Israk dan Mikraj adalah salah
satu peristiwa penting yang berlaku pada diri baginda Rasulullah SAW.
Peristiwa
ini telah membongkarkan keimanan dan keyakinan umat manusia tentang kekuasaan
Allah dan kebenaran kepada kenabian nabi Muhammad SAW. Orang kafir sendiri
menjadikan peristiwa Israk Mikraj ini sebagai suatu pembohongan yang
menambahkan lagi penolakan mereka terhadap dakwah nabi.
Manakala
keadaan umat Islam sendiri terbahagi kepada beberapa peringkat iaitu ada yang
terus membenarkan nabi seperti Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, ada pula yang
mahu penjelasan terperinci dengan menguji nabi melalui beberapa pertanyaan
seperti bilangan pintu dan tiang dalam Masjidil Aqsa bagi membuktikan kebenaran
kepada cerita tersebut dan ada pula yang bersikap menolak terus cerita nabi dan
kembali murtad daripada Islam.
Peristiwa
Isra’ dan Mikraj berlaku di dua tempat utama di bumi sebelum nabi dinaikkan ke
Saidatul Muntaha iaitu bumi Mekah dan Palestin malah melalui ayat 1 surah Isra’
menjelaskan bagaimana Allah memberkati bumi Isra’ dan sekitarnya. Sehingga kini
bumi Isra’ iaitu Baitul Maqdis, Palestin terus menjadi rebutan 3 agama iaitu
Islam, Kristian dan Yahudi sehinggakan keganasan Yahudi dalam membunuh dan
merampas tanah milik umat Islam terus berjalan tanpa perikemanusiaan.
Sejarah
Perjalanan Israk Mikraj
Rasulullah
SAW mengalami pembedahan dada/perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Malaikat
Mika’il. Hati Baginda SAW disuci dengan air zamzam dibuang ketul hitam
(‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya. Kemudian dituangkan
hikmat, ilmu dan iman ke dalam dada Rasulullah SAW.
Setelah
itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “kahtimin nubuwwah”. Selesai
pembedahan, didatangi binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah
dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu. Semasa Israk
(Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa) Sepanjang perjalanan (Isra’) itu
Rasulullah SAW ditemani oleh malaikat Jibrail dan Israfil.
Sebaik
tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah),
Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan sembahyang sebanyak 2
rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
1.
Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
2.
Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa AS menerima wahyu daripada Allah.
3.
Baitul-Laham (tempat Nabi Isa AS dilahirkan).
Dalam
perjalanan itu juga Rasulullah SAW menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api
jamung dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib,
antaranya:-
A.
Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila
dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal
ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum
yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali
ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
B.
Tempat yang berbau harum, Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau
kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan
anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya)
yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetap teguh kepada Allah (tak mahu mengakui
Fir’aun sebagai Tuhan).
C.
Sekumpulan orang orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali
dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikaan
dilakukan berkali-kali, Jibrail memberitahu: Itulah orang-orang yang berat
kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
D.
Sekumpulan orang yang menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis
kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu
dari neraka Jahannam. Kata Jibrail Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan
zakat harta mereka.
E.
Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk
sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan
perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing
mempunyai isteri dan suami.
F.
Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail:
Itulah orang yang makan riba.
G.
Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi
ditambah lagu kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang yang tak dapat
menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
H.
Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting
besi berkali-kali. Setiap kali di gunting, lidah dan bibir mereka kembali
seperti biasa. Kata Jibrail: itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan
sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
I.
Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata
Jibrail: Itulah orang yang makan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan
maruah (mencela, menghinakan) orang.
J.
Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat
dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar
(takbur), kemudian menyesal tapi sudah terlambat.
K.
Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan.
Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah
memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia
daripada akhirat.
L.
Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti.
Rasulullah SAW tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensiakan
umurnya sampai tua.
M.
Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu.
Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari
kiamat.
Setibanya
di Masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq. Kemudian masuk ke dalam
masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia’,aulia’ dan
mursalin menjadi makmum. Pad suatu tika Rasulullah SAW terasa dahaga, lalu
dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu
lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilihan yang betul. Jika arak
itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.
Semasa Mikraj
(Naik ke Hadhratul Qudus Menemui Allah)
Didatangkan
Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah SAW dan Jibrail naik tangga
pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
a)
Langit Pertama: Rasulullah SAW dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu jumpa
dengan Nabi Adam AS. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba’ dan
harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat
huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
b)
Langit Kedua: Nabi SAW dan Jibrail naik tangga yang kedua, lalu masuk dan
bertemu dengan Nabi Isa AS dan Nabi Yahya AS.
c)
Langit Ketiga: Baginda naik langit ketiga dan bertemu dengan Nabi Yusuf AS.
d)
Langit Keempat: Baginda naik tangga keempat dan bertemu dengan Nabi Idris AS.
e)
Langit Kelima: Baginda naik tangga kelima dan bertemu dengan Nabi Harun AS yang
dikelilingi oleh kaumnya Bani Israel.
f)
Langit Keenam: Baginda naik tangga langit keenam dan bertemu dengan nabi-nabi.
g)
Seterusnya dengan Nabi Musa AS, Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh
Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai termasuk 70000
orang yang masuk syurga tanpa hisab.
h)
Langit Ketujuh: Baginda naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh
lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul
Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah SAW Nabi Ibrahim AS
bersabda,
“Engkau
akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah umat terakhir dan
terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman
syuga iaitu La Haulawala Quwatta Illa Billah.
Mengikut
riwayat lain, Nabi Ibrahim AS bersabda:
“Sampaikan
salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar
airnya dan tanamannya ialah lima kalimah iaitu:
Subhanallah,
Walhamdulillah, Wa La Ila Haillallah Allahuakbar dan La Haulawala Quwatta Illa
Billahil Azim.
Bagi
orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam
syurga.
i)
Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib, Rasulullah dan Jibrail
masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul
di atas Baitullah di Mekah).
j)
Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “Al – Kursi” yang berbetulan dengan dahan
pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW menyaksikan pelbagai keajaiban pada
pokok itu. Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai
madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan
bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan.
Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia.
k)
Baginda Rasulullah S.A.W dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus
masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka beserta
dengan malaikat Malik penunggunya.
l)
Tangga kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha.
Rasulullah SAW masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu
dapat melihat seorang lelaki ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia
yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan
tidak derhaka kepada ibu bapanya.
m)
Tangga Kesepuluh : Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat
Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T dengan mata kepalanya, lantas
sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya.
Allah
SWT: Ya Muhammad
Rasullah:
Labbaika
Allah
SWT: Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah:
Ya Rabb, Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia
kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Daud
kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan
Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman
menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan
Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan
menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.
Allah
SWT : Aku ambil mu sebagai kekasih. Aku perkenankan mu sebagai penyampai berita
gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku
jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepada mu
pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al Fatihah) yang tidak aku
kurniakan kepada sesiapa sebelum mu. Aku berikan mu ayat-ayat di akhir surah al
Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah “Arasy”. Aku berikan habuan
daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku
kurniakan panji-panji Liwa – ul – hamd. Maka Adam dan semua yang lainya di
bawah panji-panji mu. Dan aku fardukan atas mu dan umat mu 50 (waktu)
sembahyang.
Selesai
munajat, Rasulullah SAW dibawa menemui Nabi Ibrahim AS kemudian nabi Musa AS
yang kemudiannya menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada Allah S.W.Tagar diberi
keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali
merayu, (setiap kali dikurangkan 5 waktu), baginda tidak mahu lagi merayu
kerana malu kepada Allah, dan akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang 5
waktu sehari semalam tetapi mengekalkan nilai pahalanya sebanyak 50 waktu juga.
Selepas Mikraj
Rasulullah
S.A.W turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu
menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yangsama.
Pengajaran
Penting daripada Israk dan Mikraj
Menurut
Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, menerusi peristiwa berkenaan, kita boleh
fokuskan kepada dua perkara penting, pertama berhubung dengan Masjid al-Aqsa
dan hubungan dengan Masjid al-Haram, kedua mengenai kewajipan solat yang
diserahkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW. Persoalannya di sini, mengapa Allah
tidak memperjalankan baginda terus ke langit ketujuh, tetapi singgah dahulu di
Masjid al-Aqsa?
Ini
kerana Allah mahukan agar baginda bertemu dengan para anbiya terlebih dahulu
bagi menyatakan sokongan padu mereka terhadap kerasulan Nabi Muhammad, di
samping mahu baginda singgah di sebuah tempat yang penuh dengan keberkatan
daripada Allah SWT seperti yang disebut dalam ayat pertama surah al-Israk.
Kepimpinan
baginda menjadi titik tolak penyatuan akidah dan syariat di kalangan para
anbiya, justeru baginda menjadi imam solat kepada mereka, iaitu kepimpinan
bersifat global, bukan hanya untuk kaum atau bangsa tertentu, malah buat
manusia sejagat yang terdiri daripada pelbagai etnik, suku kaum, bangsa yang menunjukkan
kebesaran Allah dalam mencipta makhluk bernama manusia.
Hubungan
Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa tidak dapat disangkal oleh individu Muslim
yang sayangkan agamanya. Ini kerana dari segi sejarah menunjukkan Masjid
al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah kepada Masjid
al-Haram hingga ke hari ini.
Justeru
adalah menjadi tanggungjawab semua pihak khususnya di kalangan umat Islam
membebaskan Masjid al-Aqsa dari cengkaman rejim Yahudi-Israel, kerana ia ada
kaitan dengan persoalan akidah mereka. Pengajaran kedua terpenting menerusi
peritiwa Israk dan Mikraj, ialah pelaksanaan ibadat solat lima waktu, ia
merupakan mikraj (lif/tangga) seorang Muslim menghadap Tuhannya, kepentingan
solat juga tidak dapat dipersoal oleh mana-mana individu Muslim, walau apapun
jawatan dan kedudukannya dalam masyarakat.
Apabila
solat seseorang itu beres dengan Tuhannya, maka akan bereslah urusan hidupnya
yang lain, hubungan roh seorang muslim itu sangat penting dengan Tuhannya,
justeru ia ada kaitan dengan kedua-dua masjid yang disebutkan di atas. Apabila
seseorang itu menunaikan solat dengan penuh khusuk dan tawaduk, dia seolah-olah
sedang berkata-kata dengan Allah, ia terserlah ketika membaca al-Fatihah tujuh
belas kali sehari semalam, untuk menyatakan munajat dan aduannya kepada Allah
bagi memudahkan tugas dan peranannya untuk menyeru manusia ke jalan kebenaran.
Wallahua’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan